07 Mei 2013

Positiflah bila kamu diuji!

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB 

Para anbiya', merupakan golongan manusia yang paling berat ujiannya melalui jalan dakwah. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu untuk kita menanggungnya, apatah lagi dengan ujian ke atas para anbiya'.

Sesungguhnya ujian di jalan dakwah memang panjang dan amat berat. Justeru, senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan hanyalah SABAR!

Namun sabar yang bagaimana yang kita maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Itulah sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Bagaimana caranya? Di sini kita akan teroka

MANUSIA merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal. Inilah realiti manusia.

Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini adalah sifat lupa diri. Pernah kah kita mendengar ada sebahagian daripada rakan-rakan kita mengadu,

"Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak salah sendiri?"

  Ada juga daie yang berkata kepada mad'unya,

"Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang betul!" 

Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.

Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan, kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain, kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan lebih mendalam dan sabar.

Bagaimana pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah. Apa kaitannya?


EMOSI lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada sifat ego (sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras. Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah yang merosak diri.

Perhatikan,  saat anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi kebencian, emosi memainkan peranannya. Ya, itulah emosi. Begitu juga manusia yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri, sindrom 'tidak kisah' dan 'tidak peduli' mula timbul.

Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan, kita melihat ada manusia yang tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya. Kerana mereka sedang beremosi.

Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Pastinya tidak.

Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.

EMOSI yang dikendur dengan emosi yang ditahan (diempang) mempunyai jurang perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini,

"Aku sudah puas menahan sabar dengan kau." 

Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung berapi setelah diempang begitu lama.
Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang pasti kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan dan musibah.

Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini,

"Manusia tidak kisah apa yang kamu tahu, dia hanya kisah apakah kamu sayang".

Erti hidup pada memberi. Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah apabila diri tidak mampu menyayangi. Jangan sedih apabila tidak dihargai, sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain. Apa yang paling utama, bersabarlah setiap kali ujian menimpa. Bersikap positif lah setiap kali teruji dan fikirkanlah "

"Lebih baik siapa kita di depan Allah daripada siapa kita di depan manusia."
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan