20 Mei 2011

Kepuasan sebuah perjuangan : Dimotivasikan dari sebuah kisah benar

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB


Assalamualaikum…

Alhamdulillah, akhirnya tepat jam 11 pagi, pada 18 Mei 2011, bob melangkah keluar dari dewan MAS UUM dan merupakan langkah terakhir sessi pembelajaran bob buat 3 tahun kepenatan melayari kapal akademik dalam bidang kewangan, insyaAllah.

Bidang kewangan, merupakan bidang yang amat digeruni oleh setiap pelajar. Setiap pelajar yang terpaksa mengambil subjek di fakulti ini pasti tak kan lekang dengan ditemani oleh mesin kira. Itulah teman bob 3 tahun, pastinya mesin kira itu akan menjadi pameran di dalam rumah bob pada suatu masa nanti. 

Baiklah, kembali kepada tujuan utama bob menulis blog tadi adalah ingin berkongsi dengan pembaca sekalian tentang pengalaman bob selama 3 tahun bergelar mahasiswa. Bob yakin pengalaman kita tak mungkin jauh berbeda. Kita pastinya melalui pengalaman pahit manis yang sama kalau terdapat pun mungki secebis perbezaan sahaja.

Betul atau tidak anda nilailah sendiri.

Dalam mengharungi perjuangan untuk menamatkan jam kredit pastinya amat perih, tapi sebenarnya saat mendapatkan ijazah bukanlah laluan pengalaman ilmu yang sebenar, kerana dari sini kini lebih banyak belajar cara memantapkan emosi dalam menghadapi risiko-risiko kehidupan. Dari seorang di bawah jagaan keluarga, kita mula keluar untuk berdiri sendiri. Dari seorang tanpa sahabat, kita akan terdedah dengan pancaroba dan karenah dalam berkawan. Dari seorang yang akan dipantau sepanjang masa, kita akan mula jauh dari keluarga, dan banyak lagi pelajaran kehidupan yang perlu kita lalui.

Di sini, kita perlu memantapkan kawalan emosi agar tidak mudah tunduk kepada dugaan yang diberi kepada anda. Hal ini kerana ujian-ujian ini adalah praktikal secara langsung buat anda untuk menjadi samseng yang benar-benar gah melalui kebejatan yang tak pernah puas menghalang kita.

Satu sahaja pesan bob, ingat matlamat, lalui dengan tenang, dan jangan lupa Allah. Kejayaan pasti dalam genggaman.

Dalam pelajaran pula, senang sahaja untuk berjaya : jangan malas untuk ke kelas, libatkan diri dengan tugasan, lakukan ulangkaji (input) pada peringkat awal, jadikan input tadi sebagai perkongsian ketika waktu lepak (output), dan tenang serta dekatkan diri denganNya ketika peperiksaan. Pasti 4.0 buat anda dan jadikanlah ia sebagai hadiah tangisan dalam senyuman buat bonda dan ayahanda. Mereka pasti tersenyum bangga dengan kejayaan anda itu.

Tersebut soal senyuman dalam tangisan, bob teringat ketika waktu bob keluar dari dewan peperiksaan untuk kertas yang terakhir. Dengan rasa yang begitu puas bob melangkah keluar dan dalam nurani kecil bob sangat terbayang akan wajah ibunda yang tersenyum sambil menitiskan air mata kegembiraan itu kerana anaknya juga mampu memberikan dia keputusan terbaik. Dengan kalimah syukur, bob puas sangat. Bob ucapkan salam ambang kejayaan buat rakan-rakan yang masih dalam perjalanan untuk menuju saat tangisan dalam senyuman. Buat anda yang masih mempunyai kasih bonda, berilah beliau keputusan yang lebih baik agar mereka dapat meraung dalam senyuman. goGOgo.

Seterusnya, untuk aplikasikan cara-cara yang telah bob beri tadi pastinya ada halangan. Halangan yang biasa bob alami, malas, tangguh, nak main game, tonton movie, teman kawan, takut kawan mengata, dan banyak lagi. Bob yakin inilah masalah sebenar yang banyak menjadi halangan buat kita untuk berjaya. Cara bob, senang sahaja, pedulikan mereka, tampal besar-besar matlamat yang yang ingin kita capai dalam kehidupan dan cakaplah pada diri anda, kalau aku gagal meredah halangan ini aku tak kan dapat capai impian aku. Sebagaimana bob, yang amat fanatik untuk memiliki sebuah kereta mewah dan banglo impian yang besar serta membantu anak-anak bangsa. Jadi, setiap kali datang halangan yang sering buat bob alpa, pasti bob akan berkata pada diri sendiri “Kalau aku tak kuat, mana mungkin aku dapat apa yang aku nak, kalau bukan aku yang tolong diri aku, mana mungkin orang lain akan menolong ku, Ya Tuhan bantuilah aku, kuatkan semangatku demi cita-cita suci ku”, then bob bayangkan wajah-wajah arwah bonda yang sering mendambakan kejayaan bob. Alhamdulillah, bob cuba sedaya yang termampu buat bonda yang tercinta. Al-Fatihah buat bonda.  

Amin…

Dah panjang lebar bob berceloteh, rasanya cukuplah dulu celoteh untuk kali ini. Bob harap, pengalaman yang bob kongsikan ini dapat membantu kawa-kawan untuk lebih cemerlang dan bob juga yakin, pasti ada yang mampu untuk pergi lebih cemerlang kerana usaha anda hari ini adalah penetu kesenangan pada masa akan datang. 

Selamat berjaya untuk semua.
.::goGOgo:.

03 Mei 2011

Tidak perlu kesempurnaan andai Hati ada nilai syukur

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
 
Assalamualaikum w.b.t

Kesempurnaan, sememangnya elemen yang menjadi pilihan setiap insani di dunia ini. Ramai yang mahukan hidup yang sempurna untuk memuaskan permintaan hati. Kita mungkin pernah dianugerahkan beberapa anugerah. Contohnya, sebuah keluarga yang susah, miskin, dan berhadapan dengan segala kekurangan. Tapi apakah kita pernah terfikir tentang kelebihan yang terdapat dalam keluarga ini?

Hal inilah yang sering menjadi titik kealpaan ramai dalam kalangan kita. Why? Apakah mungkin kita mahukan yang lebih sempurna atau kita keliru akan hati yang begitu “demand”?

Tahniah buat filem “Cun”, banyak memberikan erti yang membuktikan nilai bahagia adalah bukan dari wang ringgit. Tetapi dari ikatan hubungan kemesraan antara satu sama lain dalam keluarga. Filem ini mencoretkan kisah kebahagiaan gadis kaya, popular, meletup, yang akhirnya tumpas dalam keceriaan dan kasih sayang sebuah keluarga miskin. 

Renungkanlah, andai kita sedang memiliki sebuah anugerah illahi, maka tidak salah untuk kita terus menghargai, kerana ia pasti akan menjadi sempurna andai hati kita tidak lagi “demand” malah mensyukuri apa yang ada. 

Semoga bob dan rakan tidak sesali akan ketidaksempurnaan anugerah yang kita miliki hari ini. 

Apapun, jangan lupa tonton filem “Cun” dan hayati keikhlasan, kasih sayang, dan sikap menjadi diri sendiri. Selamat menonton