23 Februari 2011

10 tanda dia milik kamu!

 Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
 
سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)


Gunakan seluruh pancaindera…


Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.


1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.


2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.


3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.


4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.


5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.


6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?


7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.


8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.


9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.


10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang Maha Esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

19 Februari 2011

Tugasan 1 : BLM 1023


1. Apakah kepentingan memahami peraturan berbahasa dalam menulis?
Penggunaan bahasa yang betul itu bukanlah semestinya melalui lontaran kata-kata atau bicara dengan puisi dan bahasa-bahasa yang indah dan jarang didengar, tetapi cukup sekadar menulis dengan menggunakan hukum penulisan yang betul. Penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan huruf besar atau huruf kecil di tempat yang sewajarnya, dan pelbagai lagi yang perlu diambil kira.
Penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan akan menjadikan bidang penulisan lebih berdaya saing. Kesalahan penggunaan bahasa dalam penulisan akan menjadikan hasil penulisan itu tidak mencapai maksud yang sebenar. Malah,hasil karya itu juga mungkin akan memberikan maksud yang berbeza dengan maksud yang sebenar. Sebagai contoh,

Goreng pisang = melakukan perbuatan menggoreng pisang
Pisang goreng = makanan yang dihasilkan dari pisang

Sebagaimana contoh di atas, kita dapat merumuskan bahawa maksud akan berubah sekiranya hukum DM diabaikan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan

Penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturan juga boleh menyebabkan kesan negatif kepada para pembaca teutamanya generasi baru. Sebagai contoh, seseorang yang menulis di dalam blognya dengan menggunakan bahasa tahap rendah, sudah tentu pembacanya juga akan berada dalam lingkungan “minda bahasa tahap rendah”. Hal ini akan menyebabkan kemerosotan minda dan kebantutan dalam menambah baik bahasa yang dipelajari, malah hal ini mampu merosakkan keindahan bahasa.

Bertambah malang lagi seandainya seseorang yang baru belajar, seperti pelajar yang masih berada di peringkat pendidikan rendah, mereka akan mudah terpengaruh dengan penggunaan bahasa yang sedemikian. Hal ini akan menyebabkan mereka mengikut gaya bahasa atau penggunaan bahasa yang sama seperti yang digunakan di dalam bahan bacaan mereka setrusnya menjadikan bahan bacaan itu sebagai contoh rujukan.

Alangkah buruknya nasib seseorang itu jika terus menerus menggunakan bahasa yang mampu melemahkan dan mambantutkan keyakinan diri serta percambahan ilmu seseorang yang sedang ingin belajar. Seandainya perkara ini dibawa kepada peperiksaan atau penilaian pendidikan sekolah mereka, apakah hasil yang mereka peroleh? Jawapannya sudah tentu amat menyedihkan.

Tanggungjawab ini bukanlah tanggungjawab seseorang individu sahaja, malah tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak terutamanya bangsa Melayu itu sendiri. Ibu bapa dan warga pendidik khususnya berperanan penting dalam memastikan generasi baru menggunakan bahasa yang betul sama ada dalam penulisan mahupun dalam berkomunikasi. Sebagai bangsa Melayu, kita perlulah mempertahankan bahasa kita agar nilainya sentiasa terpelihara kerana bahasa adalah warisan bangsa yang perlu kita jaga dan kita juga perlu mengekalkan warisan ini agar tidak lapuk ditelan arus pemodenan zaman.

2. Perlukan kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?
Dewasa ini, penggunaan bahasa yang baik dalam bidang penulisan amat kurang. Hal ini bukanlah disebabkan oleh tahap penguasaan ilmu seseorang atau dengan kata lain, pengarang bukanlah tidak tahu akan penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan, tetapi adakalanya sengaja tidak mempraktikkannya dalam karya yang mereka hasilkan.Kesemua genre penulisan perlu mematuhi setiap peraturan bahasa agar generasi akan datang tidak ditipu terus-menerus dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh penulis masa kini.
Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan amat penting dan harus diberikan penekanan oleh penulis kerana hal ini boleh meningkatkan lagi kualiti sesebuah karya itu. Setiap hari kita sering didedahkan dengan kesilapan penggunaan bahasa terutamanya kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini, sama ada secara langsung atau tidak. Selain itu, tanpa penggunaan bahasa yang betul boleh menyebabkan pembaca membuat kesilapan dalam menterjemah hasil penulisan itu ekoran dari kesalahan bahasa yang dicetuskan oleh para pengarang.

Pada zaman ini, terdapat jutaan blog-blog atau laman sesawang di dalam dunia maya, iaitu internet. Namun, dalam jutaan jumlahnya itu, berapa banyakkah penulisan-penulisan yang menggunakan penggunaan bahasa yang betul?. Blog atau laman sesawang yang terdapat di internet telah meluas ke seluruh dunia. Terdapat pelbagai mesej dan berita yang disampaikan telah disalurkan ke blog, laman sesawang, rangkaian sosial dan pelbagai lagi melalui karya penulisan. Persoalannya, adakah mesej-mesej yang bermotifkan kebaikan itu sampai kepada pembaca? Dan adakah ia akan sentiasa kekal malar hijau ( evergreen ) hingga ke akhir dunia ini?

Ketahuilah bahawa penggunaan bahasa pada tahap rendah seperti penggunaan “bahasa pasar” yang seringkali digunakan dalam karya penulisan pada masa kini sukar untuk dikesan di dalam mana-mana kamus bahasa. Jika seseorang itu bertutur menggunakan “bahasa pasar” dengan seorang bangsa asing yang baru sahaja mempelajari bahasa Melayu, sudah pasti bangsa asing itu tidak dapat memahani sepenuhnya pertuturan kita dan hal ini akan menimbulkan permasalahan dalam komunikasi.

3. Adakah bahan-bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?
Merungkai persoalan di atas, bahan-bahan penulisan kini tidak semuanya mematuhi peraturan berbahasa namun yang terkecuali adalah bahan-bahan penulisan yang berbentuk akademik. Bahan-bahan penulisan seperti ini perlu memenuhi peraturan bahasa yang betul agar penyampaiannya dapat difahami oleh pembaca. Jika bahasa yang digunakan tidak mematuhi peraturan bahasa dan jika bahan ini dijadikan rujukan bagi tujuan akademik, maka kesilapan demi kesilapan akan berpanjangan dan akan mewujudkan kepincangan dalam bahasa tersebut.
Kebanyakan majalah-majalah hiburan kini telah melanggar peraturan berbahasa dan adakalanya hanya menggunakan “bahasa  pasar” dalam media cetak tersebut. Namun penggunaan majalah tersebut hanyalah sekadar hiburan dan bukan tujuan akademik. Mungkin pengarang ingin memudahkan pembaca mendapatkan berita sensasi tanpa perlu memikirkan kesan dan akibat daripada penggunaan bahasa yang salah. Walaupun begitu, penggunaan bahasa yang betul perlu dipertingkatkan lagi agar mutu bahasa sentiasa dipelihara.
Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Melayu merupakan bahasa agung ketika kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu sehingga bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai “lingua franca” iaitu bahasa pengantar yang wajib dipelajari oleh semua pedagang yang datang ke Melaka ketika itu. Keagungan bahasa Melayu itu lebih terserlah apabila penggunaannya diperluaskan ke Negara luar. Bahasa Melayu juga telah tersenarai di dalam perlembagaan Malaysia sebagai bahasa rasmi Negara. Di sini kita dapat lihat, batapa tingginya nilai bahasa yang wajar kita pertahankan. Jika masyarakat zaman dahulu boleh memartabatkan bahasa Melayu, mengapa generasi kini tidak mengekalkan keagungan bahasa kita? Jika bukan bangsa kita yang mempertahankannya, mana mungkin bangsa lain akan mengambil alih tanggungjawab ini.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa yang betul perlu dititik beratkan dalam semua bentuk penulisan agar nilai bahasa Melayu sentiasa terjaga dan berkualiti. Tidak rugi jika para pengarang mengikuti peraturan berbahasa dalam karya penulisan kerana setiap bahan bacaan itu melambangkan nilai bahasa kita. Bahan penulisan ini bukan sahaja di baca oleh bangsa Melayu tetapi turut dikongsi dengan pelbagai bangsa lain. Maka dengan ini, biarlah kita mencorak keindahan bahasa Melayu yang kita banggakan sejak dari zaman dahulu lagi. Hanya kita yang mampu mengekalkan prestasi bahasa kita.