27 Mac 2011

Pluralisme di Malaysia. Apakah Melayu terancam?

Pluralisme atau lebih subjektif dengan perkataan kepelbagaian budaya merupakan perkara yang tidak aneh untuk kita sebut atau bual bicarakan. Kepelbagaian budaya di Malaysia ini telah bermula sejak dulu lagi iaitu ketika era penghijrahan musaffir yang berdasarkan 3G (Gospel, Gold, Glory) ke Tanah Melayu. Di sinilah bermulanya pertembungan budaya yang berbeda dan telah diasimilasi serta diakomodasi sehingga lahirnya negara Malaysia yang plural. 

Kedatangan budaya yang pelbagai di alam melayu adalah bermula dengan penghijrahan manusia yang berlandaskan tiga aspek utama iaitu 3G dan pertembungan budaya ini secara semula jadinya berlaku tanpa sebarang paksaan lebih-lebih lagi undang-undang Eropah yang kian menggalakkan kepluralisme di alam melayu demi mendapatkan hak kepentingan mereka sebagai penjajah yang agak kurang sedar akan kedudukan sebenar mereka. Bermula dengan pengenalan undang-undang kolonial yang menggalakkan pembentukan masyarakat plural sehinggalah terbentuknya sebuah negara bangsa yang telah dizahirkan kini. Sebelum kedatangan penjajah kita berada dalam sebuah aliran epistemologikal iaitu yang amat berpegang teguh dengan kebenaran ilmu metafizik atau kepercayaan yang dibuktikan melalui luar aspek pancaindera. Setelah british datang menjelajah segala epistemologikal mengalami perubahan dan lebih mempercayai terhadap bukti saintifik. Hal ini merupakan perubahan epistemologikal yang hebat kerana kita lebih ke arah pembudayaan logikal dan bukannya khayalan. 

Dengan perubahan epistemologikal inilah kita telah menerima pluraliti dalam alam melayu, tiada lagi melayu yang menolak kejelikan budaya yang berbeda dengan mereka. Hal ini terbukti dengan kemuncak pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka (KMM) yang dikawal sepenuhnya oleh raja berpandangan jauh sehingga kita mempunyai sebuah pelabuhan yang agak sibuk sebagai tanda penerimaan pedagang untuk melabuhkan perdagangan mereka di alam melayu. Secara ringkasnya, kejayaan KMM ini adalah berkaitan dengan pluralisme yang mereka amalkan. Sebagai contoh, pegawai-pegawai istana yang terdiri dari pelbagai golongan dan ini menjadikan rakyat lebih mempercayai kesamarataan pemimpin. Sifat penerimaan yang diamalkan ketika KMM juga merupakan suatu yang hebat kerana mereka tidak takut kecundang daripada kedatangan budaya-budaya baru kerana bagi mereka tidak akan hilang melayu selagu berpegang pada keteguhan prinsip yang tegar seiring landasan hukum Allah. Hebatkan zaman KMM sehinggakan tiada kejutan budaya berlaku walaupun pelbagai budaya menyerang pelosok minda mereka. Apakah melayu kini sekuat itu?

Selepas mendapat kemerdekaan kita sudah jauh melangkaui kehidupan yang pelbagai dalam politik, ekonomi, mahupun sosial. Persoalannya, apakah kita si melayu masih berada di hadapan sebagaimana yang berlaku ketika KMM dulu? Sukar untuk kita jawab persoalan ini, kerana rata-rata dalam kalangan kita sememangnya takut untuk menerima bahawa kita sebenarnya perlu lebih terbuka dalam menerima hakikat kehebatan setiap golongan kerana setiap dalam kalangan kita ini mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri. Kita sewajarnya perlu menyediakan ruang pimpinan kepada mereka yang sebenarnya layak. Tidak kiralah mereka dari bangsa mana sekalipun kerana kita merupakan masyarakat yang pelbagai. Biarpun mereka adalah bukan melayu, dan tidak menjadi kesalahan andai kita menerima kehebatan mereka dalam membina sebuah negara bangasa yang tidak lenyap dalam persaingan dunia tanpa sempadan ini. Melayu berjaya bukalah terdiri dari kategori melayu yang berjaya melanjutkan pelajaran tetapi melayu yang berjaya sebenarnya melayu yang kental jiwanya kuat daya saingnya dalam membina sebuah episod kehidupan yang berdikari tanpa mengharap belas hak keistimewaan yang telah termaktub. Gagal dalam akademik bukan bererti gagal  dalam kehidupan tapi hakikatnya pasti ada peluang yang lebih baik akan terbentang buat mereka. 

Berdasarkan pengalaman yang jelas lagi nyata, bob merasakan kita masih jauh dari erti sebenar pluralisme. Kita warga melayu masih lagi bergantung pada hak istimewa yang telah kita tebarkan dalam segulung perjanjian pada satu ketika dahulu dan kini telah dimaktubkan dengan lebih berkesan dalam propaganda perlembagaan. Apakah jika perlembagaan ini ditolak suatu hari nanti kita masih boleh berdiri seteguh ini? Tak kan sama sekali, itu persepsi jujur dari bob, kerana kita pasti rebah dan terus dilenyek oleh mereka yang begitu tegar berdiri dengan elemen berdikari yang mereka terap dalam diri mereka sebelum ini. Jadi mengapa harus kita mendampingi rasa takut untuk hidup dalam kepluralisme? Kita harus menerima dan berjuang untuk menjadi insan yang tidak begitu manja dalam melayari drama kehidupan yang penuh dengan onak cabaran ini.  
Di kampus bob mendapati betapa keintegritian hilang dalam pegangan bermula dari pentadbir universiti sehinggalah kepada pekerja bawahan. Namun, segulung tahniah buat warga kerja yang amanah. Coretan ini bukan untuk membakar keseluruhan kelambu tapi hanya mahu menyakiti segelintir yang kerap menyengat kita sebagai warga terhimpit. Pensyarah pembunuh (Killer lecture), nama yang menjadi igauan setiap siswa/wi melayu. Were sher more? Kenapa?. Ulasan yang mudah bob boleh katakan adalah disebabkan oleh kesukaran untuk lulus kerana pensyarah ini amat jujur dan berintegriti dalam menyediakan markah. 

Bob cuba menyelami pensyarah yang dianggap pembunuh ini, hakikatnya terlalu seronok berada di bawah pimpinan mereka kerana gah dalam menyampaikan ilmu. Tanpa sebarang modul ditangan mereka terus bersyarah memperincikan penguasaan bidang itu kepada pelajar ketika sidang penyampaian ilmu berlaku. Pengalaman yang hebat, dan bob berpendapat inilah pensyarah yang sebenar. Tanpa mengira warna kulit, rupa paras, dan sebagainya anda tetap layak mendapat A+. Andai siswa/wi melayu terus takut begini, maka tidak mustahil untuk bob katakan bahawa kita bakal merempat di tanah air sendiri. Percayalah, sikap ini pasti menjadikan kita amat manja dan langsung tidak mempunyai keperibadian yang kukuh dalam menebarkan rencana masa depan. Melayu kini hanya mahu jalan pintas untuk mendapat sekeping pengiktirafan dan menjadi canangan seluruh pelosok kampung. Sayangnya, segala ilmu itu tidak menjadi pegangan dan digunakan dalam alam kerjaya kelak. Inilah yang menunjukkan kebejatan yang amat runcing dalam masyarakat melayu kita hari ini. Kita begitu takut untuk mengiktiraf kehebatan bukan melayu dan menjalani kehidupan pluralisme sedangkan pluralisme bakal mengasuh kita menjadi insan yang lebih maju dan berdaya saing sebagaimana yang TELAH berlaku pada zama pemerintahan KMM dahulu.

Jadi, sebagai salah seorang insan yang mahu melihat melayu terus bangkit dan menjadi pejuang yang lebih handal daripada zaman KMM dahulu, bob mahu kita lebih terbuka dalam menerima budaya dan yakinlah penerimaan ini pasti bakal menyerlahkan lagi hakikat kejayaan sebenar pembinaan sesebuah negara bangsa itu. Pimpinan tanpa pilih kasih dan tumpu pada matlamat yang satu pasti akan membawa melayu lebih ke depan dan berwawasan sebagaimana dalam dialog KLBR sampai bila kita nak mengharrapkan subsidi? Sama-samalah kita fikirkan. Salam Perjuangan buat semua.

1 ulasan: