19 Februari 2011

Tugasan 1 : BLM 1023


1. Apakah kepentingan memahami peraturan berbahasa dalam menulis?
Penggunaan bahasa yang betul itu bukanlah semestinya melalui lontaran kata-kata atau bicara dengan puisi dan bahasa-bahasa yang indah dan jarang didengar, tetapi cukup sekadar menulis dengan menggunakan hukum penulisan yang betul. Penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan huruf besar atau huruf kecil di tempat yang sewajarnya, dan pelbagai lagi yang perlu diambil kira.
Penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan akan menjadikan bidang penulisan lebih berdaya saing. Kesalahan penggunaan bahasa dalam penulisan akan menjadikan hasil penulisan itu tidak mencapai maksud yang sebenar. Malah,hasil karya itu juga mungkin akan memberikan maksud yang berbeza dengan maksud yang sebenar. Sebagai contoh,

Goreng pisang = melakukan perbuatan menggoreng pisang
Pisang goreng = makanan yang dihasilkan dari pisang

Sebagaimana contoh di atas, kita dapat merumuskan bahawa maksud akan berubah sekiranya hukum DM diabaikan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan

Penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturan juga boleh menyebabkan kesan negatif kepada para pembaca teutamanya generasi baru. Sebagai contoh, seseorang yang menulis di dalam blognya dengan menggunakan bahasa tahap rendah, sudah tentu pembacanya juga akan berada dalam lingkungan “minda bahasa tahap rendah”. Hal ini akan menyebabkan kemerosotan minda dan kebantutan dalam menambah baik bahasa yang dipelajari, malah hal ini mampu merosakkan keindahan bahasa.

Bertambah malang lagi seandainya seseorang yang baru belajar, seperti pelajar yang masih berada di peringkat pendidikan rendah, mereka akan mudah terpengaruh dengan penggunaan bahasa yang sedemikian. Hal ini akan menyebabkan mereka mengikut gaya bahasa atau penggunaan bahasa yang sama seperti yang digunakan di dalam bahan bacaan mereka setrusnya menjadikan bahan bacaan itu sebagai contoh rujukan.

Alangkah buruknya nasib seseorang itu jika terus menerus menggunakan bahasa yang mampu melemahkan dan mambantutkan keyakinan diri serta percambahan ilmu seseorang yang sedang ingin belajar. Seandainya perkara ini dibawa kepada peperiksaan atau penilaian pendidikan sekolah mereka, apakah hasil yang mereka peroleh? Jawapannya sudah tentu amat menyedihkan.

Tanggungjawab ini bukanlah tanggungjawab seseorang individu sahaja, malah tanggungjawab ini harus dipikul oleh semua pihak terutamanya bangsa Melayu itu sendiri. Ibu bapa dan warga pendidik khususnya berperanan penting dalam memastikan generasi baru menggunakan bahasa yang betul sama ada dalam penulisan mahupun dalam berkomunikasi. Sebagai bangsa Melayu, kita perlulah mempertahankan bahasa kita agar nilainya sentiasa terpelihara kerana bahasa adalah warisan bangsa yang perlu kita jaga dan kita juga perlu mengekalkan warisan ini agar tidak lapuk ditelan arus pemodenan zaman.

2. Perlukan kesemua genre penulisan mematuhi peraturan berbahasa?
Dewasa ini, penggunaan bahasa yang baik dalam bidang penulisan amat kurang. Hal ini bukanlah disebabkan oleh tahap penguasaan ilmu seseorang atau dengan kata lain, pengarang bukanlah tidak tahu akan penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan, tetapi adakalanya sengaja tidak mempraktikkannya dalam karya yang mereka hasilkan.Kesemua genre penulisan perlu mematuhi setiap peraturan bahasa agar generasi akan datang tidak ditipu terus-menerus dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh penulis masa kini.
Seperti yang kita sedia maklum, penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan amat penting dan harus diberikan penekanan oleh penulis kerana hal ini boleh meningkatkan lagi kualiti sesebuah karya itu. Setiap hari kita sering didedahkan dengan kesilapan penggunaan bahasa terutamanya kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini, sama ada secara langsung atau tidak. Selain itu, tanpa penggunaan bahasa yang betul boleh menyebabkan pembaca membuat kesilapan dalam menterjemah hasil penulisan itu ekoran dari kesalahan bahasa yang dicetuskan oleh para pengarang.

Pada zaman ini, terdapat jutaan blog-blog atau laman sesawang di dalam dunia maya, iaitu internet. Namun, dalam jutaan jumlahnya itu, berapa banyakkah penulisan-penulisan yang menggunakan penggunaan bahasa yang betul?. Blog atau laman sesawang yang terdapat di internet telah meluas ke seluruh dunia. Terdapat pelbagai mesej dan berita yang disampaikan telah disalurkan ke blog, laman sesawang, rangkaian sosial dan pelbagai lagi melalui karya penulisan. Persoalannya, adakah mesej-mesej yang bermotifkan kebaikan itu sampai kepada pembaca? Dan adakah ia akan sentiasa kekal malar hijau ( evergreen ) hingga ke akhir dunia ini?

Ketahuilah bahawa penggunaan bahasa pada tahap rendah seperti penggunaan “bahasa pasar” yang seringkali digunakan dalam karya penulisan pada masa kini sukar untuk dikesan di dalam mana-mana kamus bahasa. Jika seseorang itu bertutur menggunakan “bahasa pasar” dengan seorang bangsa asing yang baru sahaja mempelajari bahasa Melayu, sudah pasti bangsa asing itu tidak dapat memahani sepenuhnya pertuturan kita dan hal ini akan menimbulkan permasalahan dalam komunikasi.

3. Adakah bahan-bahan penulisan kini mematuhi peraturan berbahasa?
Merungkai persoalan di atas, bahan-bahan penulisan kini tidak semuanya mematuhi peraturan berbahasa namun yang terkecuali adalah bahan-bahan penulisan yang berbentuk akademik. Bahan-bahan penulisan seperti ini perlu memenuhi peraturan bahasa yang betul agar penyampaiannya dapat difahami oleh pembaca. Jika bahasa yang digunakan tidak mematuhi peraturan bahasa dan jika bahan ini dijadikan rujukan bagi tujuan akademik, maka kesilapan demi kesilapan akan berpanjangan dan akan mewujudkan kepincangan dalam bahasa tersebut.
Kebanyakan majalah-majalah hiburan kini telah melanggar peraturan berbahasa dan adakalanya hanya menggunakan “bahasa  pasar” dalam media cetak tersebut. Namun penggunaan majalah tersebut hanyalah sekadar hiburan dan bukan tujuan akademik. Mungkin pengarang ingin memudahkan pembaca mendapatkan berita sensasi tanpa perlu memikirkan kesan dan akibat daripada penggunaan bahasa yang salah. Walaupun begitu, penggunaan bahasa yang betul perlu dipertingkatkan lagi agar mutu bahasa sentiasa dipelihara.
Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Melayu merupakan bahasa agung ketika kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu sehingga bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai “lingua franca” iaitu bahasa pengantar yang wajib dipelajari oleh semua pedagang yang datang ke Melaka ketika itu. Keagungan bahasa Melayu itu lebih terserlah apabila penggunaannya diperluaskan ke Negara luar. Bahasa Melayu juga telah tersenarai di dalam perlembagaan Malaysia sebagai bahasa rasmi Negara. Di sini kita dapat lihat, batapa tingginya nilai bahasa yang wajar kita pertahankan. Jika masyarakat zaman dahulu boleh memartabatkan bahasa Melayu, mengapa generasi kini tidak mengekalkan keagungan bahasa kita? Jika bukan bangsa kita yang mempertahankannya, mana mungkin bangsa lain akan mengambil alih tanggungjawab ini.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa yang betul perlu dititik beratkan dalam semua bentuk penulisan agar nilai bahasa Melayu sentiasa terjaga dan berkualiti. Tidak rugi jika para pengarang mengikuti peraturan berbahasa dalam karya penulisan kerana setiap bahan bacaan itu melambangkan nilai bahasa kita. Bahan penulisan ini bukan sahaja di baca oleh bangsa Melayu tetapi turut dikongsi dengan pelbagai bangsa lain. Maka dengan ini, biarlah kita mencorak keindahan bahasa Melayu yang kita banggakan sejak dari zaman dahulu lagi. Hanya kita yang mampu mengekalkan prestasi bahasa kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan