Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
Assalamualaikum...wbt,
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam
manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja,
dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah
mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari
kebenaran dan arah tuju hidup.
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada
kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat
manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di
sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke
arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah,
hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit
lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi
terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak,
janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di
sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan
terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah
yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang
Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan
Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan
sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah
berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya
kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah
golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih
kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan
keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan
untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan
diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka
diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah.
Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma
tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan
suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden
tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali
kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan
tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan
menebus segala dosa-dosa lalu?
!Adiwira Sukram!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan