Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat
Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah
keinginan fitrah manusia. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup
berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya.
Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya
mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu.
Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak
terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi
istilah hidup bujang.
Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja
seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun
suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah
S.A.W.
Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau "biah
solehah" adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan
sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula
perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih
cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu
fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang
lainnya.
Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah
andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada
pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan
disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana. Rasulullah S.A.W
bersabda :
"Setiap
anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu
bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama', bukan dari
keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar.
Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa.
Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga
yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya.
Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan
tanggungjawab dalam berkeluarga.
~Adiwira Sukram~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan