Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
Seorang lelaki mengejar penerbangannya, saat tiba di
lapangan terbang, penerbangannya terpaksa dilewatkan kerana kerosakan pada
bahagian tertentu. Tetapi dia tidak marah. Katanya, "Bagus!"
Maka orang di sekelilingnya hairan. Bukankah sepatutnya
lelaki itu marah.
"Mereka mengambil berat akan keselamatan kita.
Bukankah ia bagus?"
"Tetapi.. sukarlah untuk kita mendapatkan penerbangan
berikutnya. Kerana kita terpaksa menunggu dengan begitu lama. Sedangkan
sekarang kita sedang mengejar masa!"
"Bagus!"
Dan orang di sekelilingnya bertambah hairan.
"Kenapa bagus?".
"Kerana saya dan semua orang dapat bersantai-santai
terlebih dahulu. Cuaca di luar sana sangat tidak menyenangkan. Sedangkan kita
di sini berada dalam keadaan nyaman dan selesa. Terdapat beberapa buah kusyen
empuk di hujung kaunter. Terdapat makanan dan kopi panas di kafeteria. Jadi
saya akan memanfaatkan peluang ini, kerana saya sering tidak cukup masa selama
ini. Sekarang saya dapat membaca majalah kegemaran saya terlebih dahulu."
Dan orang sekelilingnya merasa kagum dengan lelaki itu.
Seraya berkata, "Hebat!"
Itulah dia. Tabiatnya yang positif akan mempengaruhi
kelakuan, kata-kata dan pastinya keputusan. Ia memberitahu dunia bahawa sikap positif
penting dalam kehidupan. Apa sekali pun tujuan kita, fikir positif. Sentiasa
positif dan optimis!
Saya tertarik dengan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar
Al-Bukhari yang terdapat dalam sebuah buku motivasi "Menuju
Kejayaan."
"Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai
pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu, saya terus minta dari Tuhan.
Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju biarlah padan
dengan badan. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila
kita susah."
~Adiwira Sukram~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan