08 Mei 2013

Hidayah penyuluh hidup!

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB





5 Bentuk hidayah

Pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. 

Kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. 

Ketiga hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

Keempat ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

Kelima ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

~Adiwira Sukram~
 

07 Mei 2013

Perubahan kepada kebaikan itu hidayah :-)

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB



Assalamualaikum...wbt,


Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

!Adiwira Sukram!

 

Kau yang teristimewa!

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB






Kau pilihan hatiku!

Kau telah kupilih dan tapis,

Pelbagai onak dan duri kita tempuhi,

Aku yakin ia persediaan mental dan fizikal,

Agar kita dapat membina sebuah generasi yang hebat,

Masih banyak yang perlu kita pelajari dan jangan pernah berhenti,

Setiap langkah yang dilalui kita cuba tempuhi tanpa rasa gentar dan takut,

Yakinlah Allah pasti memberkati perjuangan kita yang berpaksi ingatan padaNya,

Mohon barokah dariNya agar kita dapat bersama secara halal dan mengumpul pahala,

Amin!

 

6 Jenis Wanita : Mohon dijauhkan!

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB



Assalamualaikum,

Wanita itu penyeri hidup seseorang lelaki, besar peranannya dalam menjayakan sebuah istana (masjid) yang dibina. Ya Allah! Semoga pilihan kami kaum Adam bertepatan dengan kehendak syariatMu dan berikan kami kekuatan untuk membimbing Hawa yang diamanahkan kepada kami till jannahMu. Amin...



1.Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2.Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3.Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4.Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.

5. Wanita Basaqah : ada 2 makna,
Pertama, wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

Kedua, dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6.Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja. 
 

Positiflah bila kamu diuji!

Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB 

Para anbiya', merupakan golongan manusia yang paling berat ujiannya melalui jalan dakwah. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu untuk kita menanggungnya, apatah lagi dengan ujian ke atas para anbiya'.

Sesungguhnya ujian di jalan dakwah memang panjang dan amat berat. Justeru, senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan hanyalah SABAR!

Namun sabar yang bagaimana yang kita maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Itulah sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Bagaimana caranya? Di sini kita akan teroka

MANUSIA merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal. Inilah realiti manusia.

Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini adalah sifat lupa diri. Pernah kah kita mendengar ada sebahagian daripada rakan-rakan kita mengadu,

"Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak salah sendiri?"

  Ada juga daie yang berkata kepada mad'unya,

"Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang betul!" 

Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.

Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan, kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain, kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan lebih mendalam dan sabar.

Bagaimana pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah. Apa kaitannya?


EMOSI lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada sifat ego (sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras. Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah yang merosak diri.

Perhatikan,  saat anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi kebencian, emosi memainkan peranannya. Ya, itulah emosi. Begitu juga manusia yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri, sindrom 'tidak kisah' dan 'tidak peduli' mula timbul.

Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan, kita melihat ada manusia yang tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya. Kerana mereka sedang beremosi.

Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Pastinya tidak.

Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.

EMOSI yang dikendur dengan emosi yang ditahan (diempang) mempunyai jurang perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini,

"Aku sudah puas menahan sabar dengan kau." 

Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung berapi setelah diempang begitu lama.
Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang pasti kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan dan musibah.

Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini,

"Manusia tidak kisah apa yang kamu tahu, dia hanya kisah apakah kamu sayang".

Erti hidup pada memberi. Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah apabila diri tidak mampu menyayangi. Jangan sedih apabila tidak dihargai, sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain. Apa yang paling utama, bersabarlah setiap kali ujian menimpa. Bersikap positif lah setiap kali teruji dan fikirkanlah "

"Lebih baik siapa kita di depan Allah daripada siapa kita di depan manusia."