Selamat Datang - Wilayah Sosial BoB
Para anbiya', merupakan golongan manusia yang paling berat ujiannya melalui
jalan dakwah. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan
tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu untuk kita menanggungnya, apatah
lagi dengan ujian ke atas para anbiya'.
Sesungguhnya ujian di jalan dakwah memang panjang dan amat berat. Justeru,
senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan
hanyalah SABAR!
Namun sabar yang bagaimana yang kita maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan
emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Itulah
sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Bagaimana caranya? Di sini kita akan teroka
MANUSIA merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah
untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman
sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah
masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga
menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal.
Inilah realiti manusia.
Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini
adalah sifat lupa diri. Pernah kah kita mendengar ada sebahagian daripada
rakan-rakan kita mengadu,
"Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak
salah sendiri?"
Ada juga daie yang berkata kepada mad'unya,
"Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang
betul!"
Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat
pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara
tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang
manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang
berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.
Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan,
kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain,
kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan
lebih mendalam dan sabar.
Bagaimana pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah. Apa kaitannya?
EMOSI lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada
sifat ego (sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda
emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras.
Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang
mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah
yang merosak diri.
Perhatikan, saat anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi
kebencian, emosi memainkan peranannya. Ya, itulah emosi. Begitu juga manusia
yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri,
sindrom 'tidak kisah' dan 'tidak peduli' mula timbul.
Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil
keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan, kita melihat ada manusia yang
tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga
terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya.
Kerana mereka sedang beremosi.
Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang
kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya
membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci
kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu.
Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah
dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua
itu. Pastinya tidak.
Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan
bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah
dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran
yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan
cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan
adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum
menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.
EMOSI yang dikendur dengan emosi yang ditahan (diempang) mempunyai jurang
perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran
kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses
melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka
akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila
dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini,
"Aku sudah puas menahan sabar dengan kau."
Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung
berapi setelah diempang begitu lama.
Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang
sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang
pasti kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia
memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan
dan musibah.
Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah
tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat
orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini,
"Manusia
tidak kisah apa yang kamu tahu, dia hanya kisah apakah kamu sayang".
Erti hidup pada memberi. Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah
apabila diri tidak mampu menyayangi. Jangan sedih apabila tidak dihargai,
sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain. Apa yang
paling utama, bersabarlah setiap kali ujian menimpa. Bersikap positif lah
setiap kali teruji dan fikirkanlah "
"Lebih baik siapa kita
di depan Allah daripada siapa kita di depan manusia."