SEKADAR PERINGATAN
Ini adalah sekadar luahan dari pemerhatian...bukan sindiran mahu pun penghinaan...tetapi sebagai peringatan dan juga sedikit teguran...
Penunggang motosikal seringkali dikatakan menjadi mangsa kemalangan akibat dari sikap tidak berhati-hati pemandu kereta. Adakah ini benar? Ya, mungkin kenyataan itu ada kebenarannya tetapi pemandu kereta tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Penunggang motosikal juga ada silapnya. Tidak adil jika kita menyalahkan sebelah pihak sahaja sedangkan semua pihak perlu bertanggungjawab dan berhati-hati ketika berada di jalan raya. Bukankah kita semua berkongsi kemudahan itu? Maka kita perlulah saling bertolak ansur sesama pengguna demi kebaikan bersama.
Aku terkilan dengan segelintir remaja masa kini yang sengaja bertarung nyawa menyertai aktiviti rempit yang langsung tidak mendatangkan faedah. Malah aktiviti mereka itu sering mengundang bencana kepada diri mereka sendiri dan juga kepada orang lain yang tidak berdosa. Dalam keheningan malam, mereka mengganas di jalan raya. Menunggang tanpa etika dan beraksi secara berbahaya. Akibatnya pemandu kereta menjadi mangsa tatkala gagal mengawal kenderaan demi mengelak si rempit yang sengaja memotong jalan. Kasihan nasib pemandu kereta itu. Pergi dalam keadaan yang mengerikan. Meninggalkan anak isteri yang meratap pemergian. Hilang sudah tempat bergantung. Tapi pernahkah si rempit memikirkan hal yang sedemikian? Jika mereka fikir, pasti keadaan ini tidak akan terjadi.
Terdapat juga sikap penunggang motosikal yang seringkali memotong ikut kiri. Bukankah itu sudah menjadi satu kesalahan? Di saat berlakunya kemalangan, pemandu kereta pula yang disalahkan, kononnya memandu tak tengok jalan. Melintas tak tengok kiri dan kanan. Sedangkan jelas lagi nyata penunggang motosikal yang berlagak seperti orang buta. Namun, ada ketika memang tidak dinafikan bahawa pemandu kereta juga ada silapnya. Apalah salahnya jika lebih berwaspada ketika ada insan lain yang alpa. Tidak rugi berhati-hati daripada menyesal apabila sudah mati.
Kadangkala terdapat juga penunggang motosikal yang menunggang motor umpama “jalan raya ini aku yang punya”. Mana tidaknya menunggang secara beriringan dengan teman-tempat. Jalan raya bukannya taman permainan. Jalan yang luas jadi sempit. Kalau kena langgar, sudah pasti dapat penyakit. Baik penunggang motosikal mahu pun pemandu kereta, dua-dua akan sakit.
Kita sebagai manusia telah dikurniakan akal oleh Yang Maha Kuasa untuk berfikir dan bertindak dengan waras. Nyawa yang diberikan hanyalah pinjaman. Kemudahan kenderaan dan jalan raya yang tersedia bukanlah tempat untuk kita mengakhiri kehidupan. Kita sepatutnya menggunakan semua itu bagi tujuan kebaikan. Tetapi tragedi demi tragedi yang menyayat hati bagai mengundang ketakutan ketika kita berada di atas jalan. Emosi menjadi tidak keruan apabila teringat pada kejadian yang tidak pernah kita inginkan.
Semoga luahan ini menjadi sedikit pengajaran untuk kita membuka minda agar kita tidak menempah tiket untuk menduduki bencana. Sebagai seorang muslim, kita ada cara sebelum memulakan perjalanan. Berdoalah demi tujuan keselamatan dengan memohon perlindungan dari Tuhan.
“Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali”
(surah Az-Zukhruf 13-14)
Hidup di dunia ini hanya sementara sahaja. Apabila tiba masa kita pasti akan kembali kepadaNYA. Jadi, kesempatan yang ada ini seeloknya kita gunakan dengan baik. Nafas yang dikurniakan, hargailah dengan penuh kesyukuran semoga kita sentiasa di landasan keberkatan. Sayangilah nyawa. Berhati-hatilah setiap masa agar kita tidak menjadi mangsa dan tidak juga menjadi punca pada sebarang malapetaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan